Mengumpul Kekata, Puisi dan Sajak (Setakat Ini, 21 Julai 2022)
Saya kumpulkan sajak dan puisi saya disini sebagai penilaian untuk melihat kematangan bahasa dan penciptaan struktur karya tersebut. Saya terbuka kepada sebarang bentuk teguran dan kritikan sastera. Saya sendiri masih dalam pengkukuhan jatidiri bagi gaya kepengarangan sastera tersendiri. Demikian ini, saya kumpulkan sajak dan puisi saya mengikut catatan tarikh.
Anjing yang Menyalak
Ada satu jalan:
menghala ke Pasir Salak.
Jalan itu dipenuhi anjing
yang sedang menyalak -
menggalaukan ke mari
sehingga menerkam
tubuh Tuhan yang rupawan.
Perempuan nan jelita itu:
kekasihku dalam bicara-hatiku.
Jika engkau menerkam
kekasihku dalam bicara-hatiku;
ada satu jalan untuk engkau -
ke Tuhan yang rupawan itu.
Nur Arif Isa
20 Julai 2022
Merlimau
Berkorban Diri
Aku berfikir -
bahawasanya berzikir.
Tatkala takjubku lahir
seperti lembu sedang berlari;
liar, angkuh, diikat kakinya.
Pisau dihujung urat leherku!
Mengalirkan darah;
yang menyembelih
segala yang berlebih.
Nur Arif Isa
9 Julai 2022
Merlimau
Karsa Aksara
Menyusun aksara;
mencetak cerita
kepada generasi bangsa.
Selagi hayat ada;
selagi itu berkarsa
untuk berjasa.
Nur Arif Isa
11 Jun 2022
Merlimau
Anak Bangsa
Kami anak bangsa
lahir dari rahim ibu pertiwi.
Sumpah kami
dengan agam jalur panji
akan mewarnai
kehidupan nusa.
Nur Arif Isa
11 Jun 2022
Merlimau
Angin Rindu
angin berdesir
bermalaikan pucuk daun
agar saling bercumbu.
Nur Arif Isa
19 Jun 2021
Merlimau
Nota kaki: Puisi ini berdasarkan struktur Haiku (pantun tradisional Jepun)
Gurindam Watan Jagat
demi menjulang keluhuran budi watan jagat,
janganlah sekali alpa nan longlai akan amanat.
ingatlah wahai akan dirinya mahu bakti,
supaya tiada kenal akan salah diri.
ketahuilah insani akan diri kenal akan diri,
jikalau dimungkiri padahnya akan haywani.
gadis dara mahupun teruna jangan diperkosa,
boleh diumpama aniaya ibu pertiwi bangsa.
jikalau ada dirinya mahu wakili rakyat,
horizon akan pengetahuan bahari dihayat.
luaslah akan dadanya sifat manusiawi,
agar tidak tersalah arah dalam duniawi.
jadilah amanah sebagai ratib dinihari,
agar tiada mungkiri amanat diberi.
watan ini ada warisan tersendiri,
perilah hai tiada dimungkiri.
Srivijaya, Kedah Tua, Melaka, lalu Johor-Riau,
nyata watan ini bukan ibarat tanah arab jua.
watan warisan majmuk hendaklah julang,
agar tidak tersalah peri si lebai malang.
hendaklah sentosa akan hijauan,
supaya tidak mengganggu kitaran.
daya akal dan nurani hendaklah digunakan,
itulah iltizam yang harus diperjuangkan.
dikala kaya ingatlah untuk memberi,
janganlah senang sepuak sendiri.
urus harta perlulah jelas ilmu di dada,
agar sejahtera orang lemah lagi dianiaya.
ingatlah watan ini bukan untuk bangsawan,
jikalau tiadanya itu diumpama bangsatwan.
binasa lagi nestapa buat mereka gila kuasa,
akan sumpah bencana untuk mereka merasa.
Nur Arif Isa
7 Jun 2021
Merlimau
Nota kaki: Diaspirasikan dari Gurindam 12 karya Raja Ali Haji

