Dunia Aksara

Nusajagat sebuah tanah yang subur. Setiap kesuburan dilimpahi oleh berkat kurniaan air hujan dan panas mentari. Tanah yang subur melahirkan benih kesetiaan buat penduduknya. Setiap ‘titik ditampung, meresap dipalit’ ke dalam lubuk rezeki merupakan resam bagi tanah ini. Hari sudah mula kelihatan semakin terang. Cahaya mentari sudah mula menyinari setiap lorong-lorong jalan buat penduduknya. Ramai dikalangan mereka sudah mula bangkit pada sediakala selepas mengharungi badai wabak yang tidak ketentuan.

    “Nampaknya cuaca hari ini agak baik,” berbisik suara hati Adi. Mungkin sudah menjadi lumrah bagi manusia sentiasa mahu meneka pada hari muka. Adi seorang anak muda yang masih mencari jati dirinya. Kebiasaan anak muda seperti ini sikap ingin tahu sentiasa tersemai kuat dalam dirinya. Namun kisah tanah ini bukan tentang dirinya. Tetapi tentang bahasa di tanah ini. “Apakah tanah juga mempunyai bahasa? Mampukah ia berkomunikasi seperti manusia?” Itulah persoalan yang bermain di benak mindanya.

    “Mari kita mulakan pagi hari ini dengan melihat tanah padi terbentang luas. Padi yang engkau lihat, apa yang engkau nampak dan fikirkan?” Tanya Pak Anwar kepada Adi. Sebagai tuan tanah yang agak berusia lanjut, Pak Anwar seorang berpengalaman luas dalam mengurus tanahnya. Pertanyaan yang ditujukan kepada Adi itu merupakan pertanyaan untuk menguji sejauh mana kefahaman Adi sesuai dengan usianya. Usia muda jika hanya dibekalkan tenaga tidak mencukupi sekiranya kematangan fikiran tidak dipupuk.

    “Hijau... macam lirik lagu Zainal Abidin, bunyinya: Dewasa ini… Kita saling merayakan kejayaan yang akhirnya membinasakan… Apalah gunanya kematangan fikiran… Bila di jiwa kita masih lagi muda dan mentah. Ku lihat hijau…” Jawab Adi bersahaja.

    Riak Pak Anwar tersenyum mendengar jawapan Adi sebagai tanda mengakuinya. Kebetulan sememangnya sudah sampai masa padi sedang menghijau. Mengikut kiraan resmi padi, faktor iklim yang mengizinkan ia akan tumbuh sesuai dengan suasana tropika berhawa panas lembab seperti suasana cuaca terdapat di tanah Nusajagat. Di tambah lagi dengan kiraan taburan hujan yang agak mengizinkan dalam beberapa sejak kebelakangan ini. Namun kerisauan tetap dizahirkan oleh Pak Anwar mengenai kekhawatiran marcapada perubahan iklim yang boleh sahaja berlaku. Yang juga berpunca pada aktiviti manusia sendiri. Disebabkan kerisauan ini, Pak Anwar mengemukakan persoalan itu tadi kepada Adi. Pak Anwar sentiasa memikirkan (dan mendoakan) agar ada sebuah generasi nanti yang memang benar-benar peduli tentang nasib tanah ini. 

    “Ya, betul juga. Lirik lagu tu tadi selanjutnya tentang ‘Korupsi, Oppressi, Obsessi Diri, Polussi, Depressi,’ bukan? Nah, aku sahaja bertanya, alang-alang engkau beri jawapan sebegitu, aku rasa elok nanti kita lihat apa kaitan bahasa dengan soalan aku tadi. Tapi kita kena selesaikan dulu kerja-kerja mengesan nyamuk tombak padi. Boleh jadi serangga ini berpotensi menjadi makhluk perosak malah lebih teruk lagi mengancam industri padi di tanah Nusajagat kita ini. Sama macam makhluk korupsi.”

    “Ok. Ayuh kita!”

    ***

    Setelah hampir separuh hari berlalu melaksanakan kerja-kerja penanaman varieti padi dan kawalan populasi musuh semula jadi yang akan membantu proses sebagai penentu ukur terhadap kebarangkalian pembiakan nyamuk tombak padi, Pak Anwar dan Adi berehat di rumah singgahsana yang dibina betul-betul tengah sawah padi yang terbentang luas. Seluas mata memandang. Seluas itulah harapan buat tanah Nusajagat ini. 

    Adi dalam kebiasaan waktu rehat, ia tidak akan duduk berdiam sahaja walaupun dia seorang penyendiri. Di hadapan laman rumah singgahsana itu ada baris tanaman pokok tebu telur tersusun agak rapi. Adi menebas dan melakukan proses perahan tebu secara tradisional. Hanya menggunakan perkakas dari batang pokok besar untuk dijadikan sebagai daya tekanan untuk perahan dengan menggunakan tenaga manusia. Manis air tebu itulah kenikmatan yang akan dirasainya apabila kurdatnya sendiri mendatangkan hasil. Sebegitulah setiap kali perkongsian tabula rasa dengan Pak Anwar. Manisnya dikongsi bersama sebagai teman setia dalam menikmati kelazatan ilmu. 

    “Air tebu tak sama macam kopi. Air tebu manis, kopi pahit. Rasanya sebegitulah pengalaman hidup manusia. Tapi kedua-duanya itu kita akan telan dan menikmatinya,” kata Adi kepada Pak Anwar untuk menghilangkan sedikit kerisauan tatkala perubahan iklim peringkat global akan mengancam isu keselamatan makanan negara. “Jadi, apa kaitan hal ini dengan bahasa? Tanah ini mampu bercakap ke?”

    “Oh… ya. Begini. Aksara. Tahu apa perkataan tu?”

    “Aksara… huruf, tulisan atau ejaan?”

    “Baik, semuanya betul.” Pak Anwar minum air tebu hasil perahan Adi dan terus menyambung: “Setiap yang wujud dan waras semuanya berasal dan datang daripada bahasa. Mana pula kewujudan bagi bahasa? Akal fikiran. Mana pula kewujudan bagi akal fikiran? Manusia. Bahasa adalah penzahiran keupayaan akaliah manusia pada biologinya. Pemikiran benda yang tidak nampak, ia sesuatu abstrak, daya imaginasi. Mungkin sebab ini juga Einstein pernah berkata imaginasi lebih penting daripada pengetahuan. Ya, kita kena akui yang sememangnya setiap makhluk berfikir seperti kita manusia ini sentiasa merenungi dan memahami dirinya bersama alam, baik secara kosmos mahupun alam terdekat sekeliling kehidupan sehariannya. Ini yang dinamakan membentuk pengalaman. Daripada proses ini wujudnya teks, tulisan atau aksara mahupun pemikiran sesuatu bangsa. Setiap bangsa di dunia ini mempunyai bahasanya tersendiri, mungkin sehingga menjadi falsafah hidup secara kolektif. Jikalau mahu bentuk kesatuan bangsa yang jitu, penggunaan bahasa adalah penting. Makna dan hakikat diri juga tidak terlepas daripada seumpama ini. Kerana itu adanya manuskrip-manuskrip lama, pantun, syair, puisi dan tradisi adalah manifestasi akal budi manusia.”

    “Apa kaitannya dengan tanah?” Adi cuba menyela.

    “Manusia purba ada tulisan seperti kertas atau skrin berteknologi tinggi macam kita sekarang?”

    “Tentu tidak. Yang ada dalam bentuk simbol, ideogram. Itupun dapat kelihatan pada permukaan atau habitat binaan tertentu.” 

    “Itulah yang dimaksudkan dengan tanah. Sejak zaman pra Islam di rantau ini sudah ada karya-karya besar mewakili makna kehidupan dan makna alamnya. Semangat animistik terhadap alam tabii memang wujud sebab psyche bagi manusia sejagat. Nilai-nilai leluhur sentiasa menjadi pegangan sesuatu bangsa. Dan selepas melebur pandang sarwa Islam ke dalam pancaran akal budi bagi bangsa di tanah ini, kebenaran al-Hak menjadi jati bangsa ini. Sebegitulah kebijaksanaan bangsa ini, lihat penggunaan kata ‘padi,’ ‘beras,’ dan ‘nasi’ semuanya berasal daripada satu kitaran alam yang sama. Begitulah cara bangsa ini berbudi pada tanah ini. Nasi yang dimakan itu hasil daripada tanah ini, jikalau sumbernya sihat dan bersih daripada korupsi, tentu tanah ini akan terus diberkati.”

    Adi meminum air tebu. Cuba memahaminya. Menanti setia hujan kunjung tiba. Dan menyedari hujan adalah sebenarnya irama bahasa buat tanah ini.