Notaku hari ini, izinkan ia tertulis (16 Julai 2022)

Notaku hari ini, izinkan ia tertulis.

Hari ini aku bangun pagi merasa bermacam-macam rasa seperti ikan bakar masak tiga rasa.

Pertama, rasa kesyukuran yang amat mendalam dengan kongres PKR kali ini. Seorang idola dalam keluargaku kelihatan segak berpakaian busana Melayu. Seorang yang ketika aku kecil dahulu pernah menjadi bual bicara bagi cikgu-cikgu di sekolah menengah aku dahulu. Tentu penerimaan pada ketika itu bukan boleh diterima mudah oleh orang-orang tua terutamanya. Tetapi dari sosok ini, aku belajar tentang keberanian. Berani dengan pendirian. Aku sendiri menyaksikan banyak perubahan pada dirinya. Ketika dahulu sehingga sekarang ini yang telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Banyak perubahan dan proses kematangan dirinya. Sebetulnya, dalam keluargaku, ada dua orang yang aku pernah idolakan ketika masih kecil. Kakakku yang terkenal dengan kepetahan mulutnya ketika bercakap sehingga percapaian cemerlangnya dalam setiap peperiksaan besar. Dari kakakku, aku belajar tentang kepedulian akademik. Memandangkan aku seorang yang lebih minat bersukan ketika sekolah. Kakakku adalah idolaku ketika aku berusia kecil selain Abang Adam. Teringat lagi ketika aku masih kecil hubungan keluarga kami begitu rapat sekali. Kuala Lumpur, Bangsar, Pulau Pinang dan Melaka terasa macam dekat sekali. Tentu dengan kongres PKR kali ini lebih berbeza rasanya. Parti ini juga telah menemui aku dengan seorang idolaku ketika aku mula-mula mengenali sosok reformis ini pada berusia 19 tahun (dan sebetulnya dari zaman kanak-kanak lagi). Nak jadikan ceritanya, semasa Abang Adam menghilang sepi dari terlibat aktiviti advokasi yang pernah dia terlibat semasa kegiatan mahasiswanya dahulu, dan ketika itu aku sedang melanjutkan pengajian diploma, aku mengambil kesempatan ini untuk mencari titik temu antara diriku dengan situasi politik semasa. Disinilah bermulanya penerokaan idea-idea intelektual dengan pencarian idealisme politik. Sehinggalah buat kali pertamanya dalam sejarah rejim politik yang memerintah selama 60 tahun akhirnya tumbang digantikan dengan pentadbiran baharu. Tentu ketika itu macam-macam rasa ada. Tapi aku direzekikan untuk terlibat dengan kerja-kerja eksekutif. Melalui peluang ini aku teruskan dengan menerokai lagi pencarian idealisme politik dan cuba merapatkan jurang diriku dengan parti ini. Akhirnya aku menemui kecenderungan politik diriku sendiri. Ia sekaligus merupakan pencarian dalaman. Mungkin pencarian ini tiada hujung kepuasan melainkan aku menemui destinasi yang paling tepat (kematian). Dan akhirnya, semoga dengan kongres kali ini dapat memberi nafas baharu dan tekad baharu buat keahlian dalam anggota parti ini. 

Kedua, penghargaan kepada kesetiaan. Tapi penghargaan ini tidaklah sampai kepada sosok tubuh empunya kesetiaan. Cuma masih ada ruang untuk dirinya bagiku dalam menempatkan penilaian yang sepatutnya. Dan perasaan ini tidak mendalam berbanding yang ketiga ini. 

Ketiga, seseorang yang telah membuatku merasakan keintiman. Aku sebenarnya mencari seseorang yang boleh aku berkongsikan segala-segalanya padanya. Dari hal-hal intelektual sehingga hal-hal yang melupakan aku tentang beban yang aku tanggung. Seperti berjalan-jalan, bersantai-santai, dan berbual-bual hal-hal yang menyeronokkan. Sehingga dengan melihat wajahnya, menjadikan puisi sebagai teman bicara dengan dirinya.

Habis.