Horizon


(i)

Warna kebiruan di langit sama warnanya kebiruan di samudera. Langit mempunyai bahasa alam pada hujannya memberi benih buat kehidupan. Ketika berada di puncak horizon yang meleraikan mutiara dari dasar samudera; ketika itu langit sedang berahi dalam mahligainya. Membuka hijab disebalik mendung awan yang mengisyaratkan. Awam itu adalah lapisan sama pada satu putaran yang berbumbungkan angkasa yang maha perkasa. Memberi seribu dalam satu harapan yang mewarnai jagat raya. Sebagaimana berahinya sepasang kekasih; begitu juga berbudinya alam pada kehidupan. Menghidupi puing-puing benih kebahagiaan insani ditengah-tengah cuaca mendung akan meleraikan kilauan cahaya yang menyinari jagat raya. Kegelapan lorong hitam yang memuncak berahi di angkasa hanya dapat dileraikan oleh horizon manusia. Horizon itu juga mempunyai rasa yang dapat dinikmati bersama. Ketika rembulan malam menjadi saksi kesyaduan bayu nan lembut pada pipi seorang gadis yang jelita itu; aku memeluknya pada keinginan untuk menakluki jagat raya. Pada gadis yang jelita itu; terlihat olehku akan kejelitaan, kelembutan, kecantikan, nan kedamaian; kini bernafsu horizonku yang sedang meledak-meledak atas rasa kecintaan ini; agar nusa ini kekal menjadi makmur.


(ii)

Di sebuah rimba yang berkepulauan ada seekor rusa kebanggaan nusa. Memang sudah menjadi maklum kepada kita sekiranya terdapat sebuah rimba tentu adanya kehidupan yang buas. Dikisahkan di jalanan ada sekumpulan anak-anak muda yang ghairah akan nasib nusanya telah bersama-sama seekor rusa untuk mengisyaratkan gerakan rasa dari bawah. Diibaratkan jikalau kita pernah ingat kisah-kisah leluhur kita; ada seekor sang kancil di bawah pokok Melaka yang hendak menendang anjing. Akhirnya anjing itu tetap binatang seperti haywani yang lain juga. Sang kancil itu pun akhirnya dijadikan sebagai simbol kekuasaan pada lambang yang tidak pun melambangkan kepada mereka yang perasan untuk berkuasa. Kekuasaan itu candu bagi mereka yang kekeringan horizon. Sebagaimana candu itu dikatakan merosakkan akal; perlulah juga dikatakan kekuasaan itu boleh mendatangkan kecanduan akal. Datanglah kemudian benak seorang lelaki tua yang agak uzur untuk mengikuti gerakan rasa yang agak laju bergerak dari sekumpulan anak-anak muda itu. Lelaki tua itu menanyakan khabar: jikalau dirinya tidak ghairah akan nasib nusanya seperti sekumpulan anak-anak muda lalu bagaimanakah nasib tubuh dirinya yang uzur itu. Yang agak menjengkelkan yang menjawab pertanyaan khabar lelaki tua itu adalah seekor rusa yang hampir kepupusan habitatnya oleh disebabkan angkara generasi lelaki tua. Lagi menjengkelkan lagi, lelaki tua itu tidak dapat memahami bahasa dan jawapan naluri dari seekor rusa. Dengan kejengkelan demi kejengkelan telah meledak ghairah si rusa untuk menanduk usus lelaki tua yang hanya tahu memakan darah daging kerabat besarnya. Tanduk rusa bersinar bak berkilauan tempa besi yang padat nan tajam menusuk di puncak berahi angkasa dengan bersilihkan suara jeritan zaman beransur-ansur berlumuran darah yang membusuk; tetapi aroma mewangi kesyaduan bayu nan lembut pada pipi seorang gadis dapat menahan kemahuan. Terburailah perut boroi lelaki tua itu dengan segala limpahan rahmat darahnya untuk memuaskan ghairah tanduk si rusa. Kini lelaki tua itu menjadi peristiwa untuk diingati: Hari Jeritan Zaman! 

“Apa kita perlu buat dengan lelaki tua ni?” kata salah seorang dari kumpulan anak muda yang cuba menenangkan keadaan. 

“Adakah si rusa juga perlu ditanya sama selepas kepuasan tanduknya dicapai?”

“Lumpur darah yang berlumuran ini juga bagaimana?” 

Suasana dikala itu memecah buntu dengan segala benak persoalan yang berwenang-wenang lapisan angkasa sebagai nafas kebebasan mereka untuk bersuara. Ruang-ruang pada lapisan suasana itu diisi dengan pendapat-pendapat yang akhirnya untuk membezakan isi-isi tin kosong yang bersepah-sepah di sepanjang jalanan. Anak-anak muda itu perlu dirasakan untuk mengisi satu lagi keperluan seketika dengan pengisian intelek mereka. Mereka jikalau dengan kemenjadian asuhan akan berbekalkan generasi yang ampuh buat penerus masa muka nusa. Persoalan demi persoalan, pentanyaan demi pentanyaan, kata demi kata, dibiarkan sahaja si rusa pada ruang-ruang lapisan suasana itu untuk sesama mereka menggawangi usia mudanya dari perangai kalut ketuaan dengan kenikmatan yang selayaknya. Si rusa mempunyai anak kecil dibawah asuhannya. Kini anak kecil asuhannya telah mendewasa. Dia melihat dan belajar dengan cepat dari, tentang, sebab musabab, peristiwa dan juga melibatkan sekumpulan anak-anak muda itu. Dia mewarisi jiwa si rusa yang bertanduk bak berkilauan tempa besi yang padat nan tajam menusuk ke puncak berahi. Dia bertanduk ke kiri luar, dan, ke kanan dalam – yang hampir tidak kelihatan – tetapi dia adalah manusia lahiriah yang mempunyai akal dan jiwa. Dia bersama-sama kumpulan anak muda itu – walaupun tidak kelihatan – mengikuti jejak-jejak denai peristiwa yang telah terjadi. Hempusan angin bayu nan lembut pada pipi seorang gadis itu dapat dihidunya dengan kembali pada satu titik waktu. Dia ketika itu terlihat betapa lelaki tua itu begitu benak kecanduannya dengan kekuasaan. Pada waktu itu mata lelaki tua terjojol keluar macam sedang dicekik oleh rasa angkuh di bahagian tengkorak kepala yang sudah tidak seberapa maya. Benak kecanduannya telah membuat lelaki tua maya pada kekuasaan. Membawa khayalan bahawa “Akulah Tu(h)an!” Dia ketika itu seperti berhadapan dengan Firaun di padang sahara kegersangan yang dahagakan horizon baru untuk terbit.


(iii)

Terbitnya mentari bererti putaran yang berbumbungkan angkasa yang maha perkasa masih bernyawa. Putaran maha sumber penting buat jiwa-jiwa yang mahu bernyawa. Tanpa putaran ini tentu ruang-ruang untuk bersilih ganti hanya menjadi kuku besi yang hanya takuti bayangan pada perintah putarannya. Pabila hadirnya horizon-horizon baru yang meleraikan kejumudan kuku besi; kukunya tidak tajam seperti tanduk rusa; besinya juga tidak dapat melawan betapa kerasnya arus deras dari bawah. Alam boleh bersuara gempa hanya dari kelalaian manusianya. Dikalanya itu mana lagi terbitnya horizon baru sekiranya ruang-ruang di celah-celah bumi? Inilah didengari seperti sebuah peri sahibul hikayat bahawa sesungguhnya tiada kenal dirinya dalam dunia adalah sia-sia. Adakah kita mahu sia-siakan pada ruang-ruang nafas segar untuk kita hidup dicemari oleh angkara sebuah kejengkelan yang akhirnya membusukkan di udaranya. Horizon baru adalah sebuah nafas segar yang dapat dicapai oleh udara yang melangit ke puncak berahi angkasa yang maha perkasa. Aku menutupi mata. Menarik nafas ke puncak titik dari satu titik. Aku menghembus nafas ke bawah. Memandang langit biru ke atas. Agar ada horizon baru yang menemani dalam gelap rembulan malamku. Malam ini terasa kesyaduan bayu nan lembut pada pipi seorang gadis yang jelita itu. Horizon yang mengisyaratkan seluruh jagat raya diatas tinta dakwat cecair pada keratan helaian dari tumbuhan yang kita bersama-sama menanam benihnya.