Biografi Percuma
Prolog
Mungkin saya boleh berkira untung (bersyukur) kerana dilahirkan dalam lingkungan yang dikelilingi orang yang boleh dijadikan sebagai sumber teladan. Dan sebetulnya ini bukan tentang buku yang ditulis oleh penulis, tetapi pengisian sosok yang dikisahkan dalam kedua-dua buku ini.
Pertama, seorang yang boleh saya julukan dengan gelaran “Pergelutan Sang Nasionalis” yang mempunyai nilai pengalaman tersendiri yang begitu berharga bagi saya. Sebagai seorang yang lahir dalam keluarga yang begitu aktif dalam pergerakan akar umbi parti politik Melayu, UMNO, nama sosok Onn Ja’afar bukan sesuatu yang asing bagi saya. Sejak usia kecil, saya cuba mencari sebab musabab kenapa ada dikalangan mereka begitu setia sekali dengan parti ini, meski parti ini sentiasa terpalit dengan isu-isu salahlaku. Mungkin ketika itu saya masih berusia muda. Nama sosok Onn Ja’afar antara sosok penting bagi asal-usul UMNO yang kini merupakan sebuah organisasi politik Melayu yang memiliki beban sejarahnya dalam mencorak perjalanan politik tanah air.
Kedua, seorang yang boleh saya
julukan dengan gelaran “Kecekalan Sang Reformis” yang serba sedikit memberi
pengaruh kepada saya. Selain politik akar umbi parti Melayu, saya juga terdedah
dengan politik reformasi, mungkin juga disebabkan saya merasakan mempunyai
persamaan, sebagai seorang yang menjiwai idealisme, nama sosok Anwar Ibrahim
juga bukan sesuatu yang asing bagi saya. Faktor itu mungkin disokong lagi
dengan hubungan baik saya dengan seorang sosok muda yang pernah terlibat dengan
aktivisme mahasiswa, Adam Adli, yang merupakan saudara saya sendiri, walaupun
saya bukan orang yang terlibat dengan aktiviti seumpama itu, kerana ketika masih
belajar lagi, saya seorang yang begitu aktif bersukan sehingga ke peringkat
negeri.
Kedua-dua
sosok ini yang dikisahkan melalui buku yang saya baca adalah hasil karya
terjemahan daripada One Man’s Will: A Portrait of Dato’ Sir Onn bin Ja’afar
oleh Palema Ong Siew Im, dan Anwar Ibrahim: Dari Cherok To’ Kun ke Kuala
Kangsar oleh Amin Ahmad. Buku yang ditulis oleh YB Amin Ahmad adalah buku
yang dihadiahkan kepada saya, mungkin kerana kisahnya yang ditulis ketika zaman
kecil dan pendedahan awal sosok reformis, mungkin ada sedikit secocok dengan
diri saya yang masih dalam proses menggilap idealisme, yang penulisnya
menuliskan:
Banyak pernah diperkatakan … khususnya sejak beliau memimpin gerakan mahasiswa dan belia bermula lewat 1960-an. Namun, tidak ramai yang tahu tentang pendedahan awal yang diterimanya sebelum melangkah kaki ke universiti.
Nama Kojel Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bagi saya, sebuah nama institusi pendidikan yang begitu berjaya dalam menghasilkan tokoh-tokoh di dalam negara ini. Mungkin saya boleh mengandaikan, sosok reformis ini telah melalui proses pembinaan keperibadiannya dengan baik ketika dalam tempoh ini, sehingga membentuk potensi kepimpinan beliau dalam beberapa organisasi mahasiswa dan belia pada peringkat seterusnya. Demikian serba sedikit sebahagian kisah hidupnya yang dibawakan oleh penulis.
| Bukan borang keahlian parti. |
***
Bagi saya,
pendidikan, perpustakaan, buku dan penulis adalah perkara asasi dalam
memberdayakan modal insan dalam sesuatu negara mahupun tamadun. Empat perkara
ini: pendidikan, perpustakaan, buku dan penulis, mencerminkan tahapan
masyarakat sejauh mana berkualiti dalam mengisi kesedaran dan pemikiran awam. Malah,
sejak bermulanya peradaban manusia, pemikir-pemikir besar pasti akan meninggal
kepada kita sebuah karya ulung bagi generasi demi generasi. Dan saya sebetulnya
terkesan dengan sebuah karya langka yang berjudul Qābus-nāma atau boleh
juga disebut dengan Naṣiḥat-nāma oleh Kaykāvus yang diterjemahkan oleh
Reuben Levy dengan diberikan judul A Mirror for Princes. Qābus-nāma merupakan
sebuah karya besar bagi peradaban Parsi. Ia ditulis oleh Kaykāvus kepada
anaknya, Gilānšāh, sebagai nasihat keperibadian dan kepimpinan, yang setepatnya
bukan kepada anaknya sahaja, tetapi kepada generasi muda. Sengaja saya membawa
karya ini, sebagai contoh kepada perkara yang saya sentuh tadi. Selain karya
besar seperti Sulalat al-Salatin oleh Tun Seri Lanang yang diangkat oleh
Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, sebagai sebuah karya genius tempatan.
“Cukup jelas kelihatan bahawa Tun Seri Lanang mempunyai piawai keadilan yang tinggi, dan lebih luas daripada itu, mempunyai piawai budaya yang sama tersohornya. Beliau menjadi lambang seorang manusia yang hidup dalam suatu tamadun yang bangga dengan pencapaiannya dan yakin pula dengan apa yang dicapainya. Gaya yang muncul daripada keyakinan diri, tamadun, kematangan peribadi ialah yang anggun, terhormat dan mulia,” menurut Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya, Akal Budi Adikarya Sulalat al-Salatin.
| Gambar perpustakaan di Prague, Czech Republic. |
Sekali lagi,
senjaga saya membawa karya ini, sebagai contoh kepada perkara yang saya sentuh
tadi. Kerana penting bagi sesebuah masyarakat untuk disediakan bahan-bahan
bacaan yang berkualiti dan mudah diakses kepada mereka yang dikehendaki. Dan
sudah tentunya, perpustakaan awam merupakan wadah dan wahana yang harus
dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tidak berguna jikalau hanya pada binaan
sahaja, tetapi pengisiannya adalah peri mustahak jikalau mahu mengangkat
tahapan masyarakat. Buku terjemahan daripada One Man’s Will: A Portrait of
Dato’ Sir Onn bin Ja’afar oleh Palema Ong Siew Im adalah buku yang saya
dapatkan di sebuah perpustakaan awam negeri, dan harapnya perpustakaan
tersebut, juga Malaysia, dapat meningkatkan kualiti koleksi-koleksi buku dari
pelbagai peradaban dunia untuk khalayak awam (mungkin mengikut tahapan dan
piawai tertentu). Saya memetik sarjana orientalis Barat, George Makdisi, dalam
bukunya The Rise of Colleges: Institutions of Learning in Islam and the
West, yang menjalankan kajian terhadap kekayaan peradaban Islam berkenaan
perpustakaan, memberi enam istilah padu atau terminologi dalam mengambarkan
perpustakaan, iaitu, bahagian luarnya: bait (ruang), khizana
(almari), dar (binaan) dan bahagian isinya: hikma (kebijaksaan), ‘ilm
(pengetahuan) dan kutub (buku). Kita sedia ketahui dalam peradaban Islam
terdapat perpustakaan Muslim terkenal dengan sebutan Bayt al-Hikmah. Malahan
pada hari ini, di Barat atau di negara-negara maju, banyak perpustakaan canggih
yang gah dengan binaannya dapat ditemui. Tetapi George Makdisi mengambarkan
konsep perpustakaan pada zaman peradaban Islam tersebut dengan istilah besar
seperti bait al-hikma, khizanat al-hikma, dar al-hikma dan lain-lain. Mungkin
ianya membuktikan kepada kita sebagai manusia pernah mencapai tahap penghayatan
ilmu sebegiturupanya. Sekali lagi, sengaja saya membawa karya ini, sebagai
contoh kepada perkara yang saya sentuh tadi dan seterusnya saya lanjutkan dengan
sosok pertama, pergelutan sang nasionalis.
Pergelutan
Sang Nasionalis
Pernah beberapa
seketika abah saya terlibat langsung dengan pergerakan politik parti Melayu,
UMNO, peringkat akar umbi dan negeri, yang mana ketika itu saya masih kecil
lagi untuk memahami kerja-kerja mereka. Pada ketika usia itu, saya melihat abah
saya sebagai individu yang disegani dalam komuniti setempat, sehingga kelahiran
adik kembar saya, abah saya membuat keputusan untuk tumpukan lebih sebagai
seorang warga pendidik di sekolah berbanding terus bergiat aktif dalam aktivisme
akar umbi parti Melayu tersebut. Disitu bermulanya kesedaran kecil saya
terhadap politik. Dan dari situ juga bermula keinginan saya untuk mengetahui
lebih lanjut tentang parti ini, yang konon dijuluki sebagai “parti keramat
Melayu” yang sememangnya mempunyai sejarah penting dalam mencorak perjalanan politik
di tanah air ini.
Saya tidak dilahirkan sebagai generasi sebelum merdeka, kerana itu saya sentiasa berkeinginan untuk mengetahui tokoh-tokoh besar yang telah berjasa dalam usaha dan perjuangan meraih kemerdekaan. Bukan sahaja di Malaysia, malahan seantero dunia tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan. Antara nama awal yang saya kagumi, Za’ba, Dr Burhanuddin al-Helmy, kemudian Buya Hamka sebagai pujangga besar kelahiran Nusantara, sehingga membawa kepada nama-nama tokoh politik, agama, penulis dan lain-lain. Nama Onn Ja’afar selain Tun Ghafar Baba antara nama tokoh politik yang terlintas dalam minda saya apabila melihat bendera parti UMNO pada ketika saya berusia kecil lagi.
Tun Ghafar Baba, nama ini selalu kelihatan ketika saya melalui jalan ke Bandar Jasin yang namanya didedikasikan sebagai sebuah nama MRSM di Jasin, Melaka. Selain beliau juga pernah menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri (1987-1993) dan Ketua Menteri Melaka (1959-1967), beliau juga pernah dicabar oleh Anwar Ibrahim dalam pemilihan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan pada akhirnya berundur daripada jawatan tersebut bagi menjamin kestabilan politik.
Onn Ja’afar, sebagai pengasas bagi
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang kini dikenali dengan sebutan UMNO,
dalam pandangan saya terhadap sosok ini, seperti seorang Melayu yang bergelut
mencari kemelayuannya mungkin disebabkan peringkat awalnya dibesarkan dalam
suasana luar lingkungan budaya Melayu dan mendapat pendidikan awal dari
Inggeris, ditambah lagi dengan mewarisi baka ibunya yang berasal daripada Armenia.
Keluarga Onn Ja’afar merupakan keluarga ternama di kalangan masyarakat.
Ayahnya, Ja’afar bin Haji Muhammad, merupakan orang yang paling rapat
berkhidmat dengan Sultan Johor dan pernah menjawat sebagai Menteri Besar Johor
yang pertama (1882-1919). Sosok Onn Ja’afar boleh dianggap sebagai sosok yang
mewakili nasionalis sejati bagi negara seperti Malaysia sepertimana yang
ditulis oleh Pamela:
“Harry J. Benda di dalam kata pengantar untuk buku William Roff bertajuk ‘The Origins of Malay Nationalism’ memberikan ulasan yang penuh bermakna iaitu “di ambang Perang Dunia Kedua, seorang Melayu yang benar-benar nasionalis, yang melangkaui perbezaan antara negeri-negeri Melayu, masih belum dilahirkan.” Dato’ Onn lahir pada tahun 1895, jadi ‘ambang Perang Dunia Kedua’ (tanpa mengira bagaimana anda mentafsir peristiwa itu), telah menemuinya, seorang lelaki pertengahan usia yang mempunyai kedudukan terhormat, berkuasa dan berpengaruh di sebuah negeri Melayu – iaitu Johor. Tokoh pertengahan usia yang berkuasa dan berpengaruh bukanlah jenis yang mengalu-alukan idea baru yang berisiko memudaratkan kedudukan mereka. Jadi bagaimanakah Dato’ Onn sebagai penasihat khas kepada Sultan dan menunggu waktu untuk menjadi menteri besar Johor, bukan sahaja mengalu-alukan nasionalisme Melayu tetapi menjadi simbol dan wakilnya? […] Onn tidak pernah berpaling daripada mereka – seperti seorang demokrat sebenar, dia berusaha memenangi mereka semula. Mungkin keadaan akan jadi lebih baik jika dia berjaya – tetapi mungkin juga menjadi lebih buruk. Setiap tokoh ulung berpegang pada nilai zamannya, hidupnya dicurahkan untuk menjayakan usahanya. Dan usahanya itu terus bertahan menongkah zaman.”
Nasionalisme
Melayu, atau kepentingan orang Melayu, seringkali berada dalam kerawang ingatan
saya apabila sebut tentang politik. Mungkin hal itu yang selama ini telah
mencorak budaya politik di Malaysia. Persoalan identiti bagi saya bukan persoalan
yang boleh diselesaikan dalam spektrum politik walaupun masih memerlukan
beberapa perkara yang melibatkan politik. Kenanaran budaya, istilah yang
diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim, ianya sebuah jerat kepada kefahaman sempit
perkauman sebagaimana yang diungkapnya, “penemuan kembali prinsip tulen
kemuliaan diri insan, yang sebenarnya berakarkan tradisi Asia dan tradisi
kemanusiaan yang lain, akan merangsang pertumbuhan masyarakat madani serta
mewujudkan pemerintahan yang beradab lagi manusiawi. Asia, bahkan umat manusia
sejagat, akan diperkasa oleh pemikiran para filasufnya dan daya bayang golongan
seniman.” Ia adalah jelmaan idealisme yang hadir dari seorang sosok
reformis yang banyak memberi pelbagai tanggapan dalam perkembangan politik mutakhir
ini. Berbeza dengan sosok Onn Ja’afar yang dalam pergelutan dan pencarian
idealisme sebagai sosok nasionalis mungkin “peraturan politik zaman berzaman
menyatakan jika anda dilihat hilang pertimbangan ketika menyerang seseorang
atau institusi, anda hanya menambah kekuatan orang atau institusi tersebut.”
Keadaan seperti itu yang dihadapi oleh sosok Onn Ja’afar selepas menulis surat
kepada Leftenan Komander J.M. Kenworthy dengan merungut tentang pentadbiran
negeri Johor dibawah pemerintahan Sultan Ibrahim yang bertarikh 25 Oktober
1928. Mungkin episode ini dianggap sukar bagi sosok Onn Ja’afar selepas
pemecatan pertama pada tahun 1920 dan kali kedua pada tahun 1927. Usahanya
tidak terhenti disitu, selepas beberapa babak yang telah berlaku, kewartawanan
menjadi wadah seterusnya bagi Onn Ja’afar. Dalam tempoh ini, kita boleh
mengandaikan sosok Onn Ja’afar sedang mengusahakan satu kelahiran baru yang
akan menaikkan namanya dengan akhbar Warta Malaya. Warta Malaya sebuah
akhbar harian berbahasa Melayu yang bertujuan untuk memberikan kesedaran dan
pengetahuan kepada masyarakat Melayu yang tidak berbahasa Inggeris mengenai
berita antarabangsa dengan bahasa yang mudah dan ringkas untuk difahami. Pamela
dalam One Man’s Will: A Portrait of Dato’ Sir Onn bin Ja’afar menulis:
“Suratkhabar
tersebut diterbitkan dalam tulisan jawi. Ia terus bertahan dengan adanya iklan
berprestij dari Robinson and Co. Ltd, yang akan membeli halaman termasuk
separuh ruang muka hadapan untuk mengiklankan basikal keluli berjenama
Raleigh.”
Dalam tempoh
ini, dapat dianggap sosok Onn Ja’afar sedang menempa nama sebagai editor.
Daripada peluang ini, kita akan kelihatan beliau memanfaatkan ruang ini dengan
menyatakan inspirasinya tentang “keutamaannya terletak dalam rencana pengarang,
yang mengisi sebahagian besar akhbar dan merangkumi apa yang kini dipanggil
sebagai membangkitkan kesedaran.” Seperti kebanyakan tokoh-tokoh besar
dunia, kebanyakan mereka mempunyai upaya kendiri ketika usia kecil untuk lebih
belajar bersendirian. Hal ini mungkin ada pada sosok Onn Ja’afar, kerana bagi
saya berdasarkan beberapa pembacaan terhadap beberapa buku biografi mengenai sosok
ini, ia kelihatan seperti seorang yang mempercayai kekuatan intelek dalam
berhujah. Perkara ini juga disokong lagi dengan terdapat beberapa hasil
tulisannya dan seri terjemahannya mengenai Hikayat Seribu Satu Malam. Ia
menunjukkan bahawa sosok Onn Ja’afar mempunyai penghargaan yang tinggi terhadap
karya-karya besar peradaban dunia. Malah, dalam tempoh ini juga sosok Onn
Ja’afar masih meneruskan perseteruannya dengan Sultan Ibrahim menerusi kolum Warta
Malaya. Mungkin perseteruan ini bagi sebahagian orang akan menganggap sosok
Onn Ja’afar dengan tanggapan yang agak negatif, tetapi saya memetik Anthony
Milner dalam tulisannya, Melayu dan Kemelayuan, yang menganggap sosok
Onn Ja’afar sebagai individu penting dalam memangkin kesedaran dan pembaharuan
terhadap masyarakat semasa zaman penjajah. Anthony Milner menulis:
“Kita
dapat lihat bahawa adat dan agama telah mula dipindahkan daripada raja kepada
bangsa. Kebanyakan daripada perubahan ini telah pun berlaku semasa zaman
penjajah […] Mohd. Eunos Abdullah, Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Yaacob, Onn
Ja’afar dan lain-lain – tidak hanya para wartawan, tetapi juga para penulis
novel dan sejarah yang mengagungkan bangsa Melayu – kesemuanya memberi
sumbangan terhadap proses ini, sehingga pihak istana sendiri akhirnya mula
bertolak ansur.”
Kepedulian
sosok Onn Ja’afar terhadap tahap pendidikan orang Melayu pada ketika itu cukup
terserlah, serta dalam tempoh seterusnya, ketika beliau masih berada dalam
dunia kewartawanan, selepas bergiat aktif bersama Lembaga Malaya, beliau
telah memperkenalkan satu ruangan yang dinamakan Perletan Pak Pandir
atas usaha untuk menaikkan kesedaran orang Melayu. Pada ketika tempoh ini juga,
pergelutan sang nasionalis ini mula berubah kepada pemulaan seorang yang paling
pro-monarki, dengan nada yang agak lunak berbanding selama ini berseteru dengan
Sultan Ibrahim, yang sudah kelihatan sebagai sosok yang dapat dijadikan sebagai
simbol jatidiri orang Melayu. Hal ini disokong lagi dengan terdapat sebuah
terbitan buku yang berjudul Selamat Johor (1935) oleh beliau sendiri.
Bermula perkara itu juga sudah terserlah sosok Onn Ja’afar sebagai seorang
pro-Melayu yang koheren. Palema menulis:
“Onn
adalah pro-Melayu yang fanatik dan sentiasa berusaha memperbaiki nasib orang
Melayu kebanyakan dengan apa cara sekalipun; dan dia juga terlalu percaya pada
diri sendiri, tidak pernah berganjak daripada pendiriannya bahawa jalan yang
dipilih berdasarkan analisis sendiri tentang keadaan semasa adalah cara terbaik
untuk bergerak ke hadapan. Dia seorang yang bijak, bertenaga dan mempunyai
banyak pengetahuan, jadi sebahagian besar analisisnya betul. Dia berkarisma dan
tahu bagaimana untuk menggunakannya. Gabungan itu bakal membawanya pergi jauh,
tetapi ia tidak bermakna dia tidak akan membuat kesilapan dalam politik.”
Dalam tempoh tahun
1946-1948, ketika bermulanya bibit-bibit terciptanya Malaya di tanah
semenanjung, kesedaran nasionalisme Melayu mula menaik yang pada kemuncaknya
dengan berlaku Malayan Union. Dalam beberapa tempoh tertentu, sosok Onn
Ja’afar mula mengetuai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMMJ) dengan
bertujuan untuk menghalang Malayan Union dan juga bertujuan untuk
meredakan pergaduhan di antara kaum Cina-Melayu akibat susulan daripada
peristiwa Malayan Union. Perkara tersebut juga merupakan langkah sosok
Onn Ja’afar dalam usaha menghalang tindakan MacMichael. Satu kelebihan yang
dimiliki oleh sosok Onn Ja’afar yang pada ketika itu berusia 50 tahun,
mempunyai gabungan ciri-ciri pemuka kelas pertama, wartawan bersemangat dan
demagog politik, telah menulis surat terbuka kepada seluruh akhbar Melayu dan
menyokong Warta Negara untuk mengadakan satu kongres pertubuhan-pertubuhan
Melayu, dan sejak bertarikh 1 Mac 1946 sudah mula beroperasi parti UMNO dan
sosok Onn Ja’afar merupakan presiden pertama bagi parti Melayu tersebut. Dalam
jangkaan tempoh ini dan seterusnya, sosok Onn Ja’afar masih bergelut dalam
parti politik Melayu tersebut dan pada 20 Mei 1950, ia mengusulkan pembentukan
sebuah parti yang merangkumi semua, yang menggunakan hujah berasaskan laporan
Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum yang merupakan sebuah perbincangan tentang
konsep kewarganegaraan yang harus diberikan kepada semua orang yang menganggap
Tanah Melayu sebagai satu-satunya tanah-airnya dan satu-satunya tumpuan
patriotisme mereka. Usul itu dibantah. Sosok Onn Ja’afar masih berusaha dengan
alternatif lain. Tetapi pada akhirnya mengumumkan perletakan jawatan
serta-merta dan keseluruhan Jawatankuasa Pusat mengikut langkahnya. Namun
peristiwa yang berlaku itu telah menggemparkan. Dengan penuh budi baik sosok
Onn Ja’afar telah menyatakan persetujuan semula sebagai presiden pada 28 0gos
dengan majoriti mengagumkan serta kekal bersama UMNO selama genap satu tahun.
Mahu
diringkaskan kisah sosok ini, episode politiknya diteruskan dengan menyiapkan
sebuah penubuhan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan kemudian dilancarkan semula
sebagai Parti Negara, yang ditubuhkan khusus untuk memberi gambaran kepada
gagasan sosok Onn Ja’afar mengenai kesamarataan. Pada tahun 1957, Tanah Melayu
mendapat Kemerdekaan dan sosok Onn Ja’afar dipilih sebagai satu-satunya Ahli
Parlimen daripada Parti Negara pada tahun 1959. Dalam tempoh ini juga (1953-1962),
sebagai ikhtiar terakhir sosok Onn Ja’afar dalam dunia kewartawanan telah
melancarkan majalah mingguan, Kritik, yang merupakan majalah dalam
tulisan jawi yang dikhaskan terhadap isu-isu yang menjadi perhatian sosok Onn
Ja’afar sendiri, tentang pendidikan, kesedaran kebangsaan dan kritikan
politiknya terhadap UMNO, Perikatan dan Tunku Abdul Rahman. Disini jugalah
perkenalan diantara Ahmad Boestamam dengan Onn Ja’afar yang sering berkongsi
bahan dan sumber penyelidikan yang sama. Mereka adalah inteligensia Melayu
dengan keupayaan intelektualnya telah menyumbang untuk kemajuan bangsa. Pada
tahun 1962, sosok Onn Ja’afar meninggal dunia dan diberikan penghormatan atas
permakaman negara. Demikian ketokohan beliau, yang mungkin bukan mudah untuk
dikisahkan dalam satu tulisan kecil ini, tetapi sebagaimana seorang nasionalis
sejati yang peduli terhadap bangsanya, tetap dengan prinsip sebagai seorang demokrat
sebenar, yang mungkinkah masih ada tersisa pada politikus Malaysia saat ini?
Selepas Langkah Sheraton? Bagaimana dengan demokrasi di negara kita?
Kecekalan
Sang Reformis
Bukan sebab mahu mengkultuskan sosok ini, sebagai manusia biasa, mungkin tidak terlepas daripada sebarang kesilapan. Saya lahir dalam tempoh tahun 1997-1998 ketika mana negara-negara Asia Timur mengalami krisis kewangan yang agak membimbangkan, tidak terkecuali dampak yang diterima oleh Malaysia. Selain dalam tempoh ini juga, perseteruan politik yang mungkin dalam catatan sejarah politik dan demokrasi di Malaysia ianya merupakan perseteruan yang paling sengit di antara dua sosok politikus. Pada ketika itu juga, kita boleh mengandaikan Malaysia sudah boleh dianggap sebagai negara yang sudah mencapai tahap status negara yang begitu pesat membangun dan maju selepas beberapa dekad yang telah dilalui. Dalam pandangan saya, Malaysia yang pada ketika itu sedang mengalami beberapa transisi proses pembangunan yang telah memberi kesan langsung kepada politik semasa, dan perseteruan Anwar-Mahathir adalah cerminan sebenar kepada situasi politik Malaysia yang telah berlaku. Daripada seorang sosok Islamis Moderat, Muslim Demokrat sehingga ke sosok Reformis, pelbagai liku liku kehidupan dan politik yang telah dilalui olehnya. Kecekalan sang reformis itulah yang telah mempengaruhi kesedaran besar saya terhadap politik.
Setiap orang
yang bergelar politikus di dalam negara ini, tidak terlepas daripada kesilapan
politik, begitu juga dengan peristiwa perseteruan Anwar-Mahathir. Sosok Anwar
dalam bayangan minda saya adalah aktor politik Malaysia yang mula-mula mahu
memperjuangkan demokrasi. Dalam demokrasi, soal integriti adalah prinsipnya. Dan
prinsip ini mungkin telah memberi kesan langsung kepada perjalanan politik
Anwar. Selain sosok Anwar dalam bayangan minda saya adalah seorang yang begitu
bertenaga dalam memperjuangkan idealisme politiknya. Sama ada diperakui atau
tidak, sosok ini tetap dengan prinsipnya, dan ianya telah memberi pelbagai persepsi.
Saya agak jengkel dengan berita-berita aib individu atau kesalahan peribadi
digempargemburkan sementara isu-isu besar yang melibatkan integriti dipandang
enteng. Demikianlah pemikiran awam telah diisikan, menabur aib sesama sendiri
sudah tiada lagi kewarasan dan lagi membodohkan. Mungkin ini boleh diumpamakan
sebagai buih di lautan. Apa yang saya cermati, selain sosok Anwar dengan bukunya The Asian
Renaissance, dapat saya samakan dengan Alija Ali Izetbegovic dengan bukunya
Islam between East and West, antara sosok pemimpin intelektual yang
mampu menulis idea-idea abstark dalam satu adunan gagasan mereka. Mungkin
kebanyakan kalangan kita terlepas pandang, dalam melihat sosok politikus, hanya
pada soal jawatan atau harta, kewibawaan pemimpin juga harus dilihat sejauh
mana kemampuan mereka dengan wawasan mereka. Dan saya sebenarnya tiada apa yang
mahu dikisahkan terhadap sosok ini, biar sejarahlah yang sebaiknya akan menjadi
saksi perjalanan kehidupan kita.
| Buku yang disebutkan di atas tadi. |
Epilog
Sebagai
pengakhiran kepada kisah ini, berbalik kepada sosok Onn Ja’afar, ia pernah
mengungkapkan:
“Adalah
benar-benar penting bagi orang Melayu untuk mendapatkan hubungan lebih erat
bersama orang lain di negara ini. Inilah masanya untuk kita mengambil pandangan
yang lebih luas melangkaui pandangan kampung. Janganlah dikatakan orang bahawa
orang Melayu berfikiran sempit dan mencurigakan. Saya ingin bertanya, yang mana
anda akan pilih? Keamanan atau hura-hara, persahabatan atau perseteruan?
Seperti
ungkapan sosok Onn Ja’afar diatas, kita boleh mengandaikan ianya telah lama
berusaha untuk memupuk satu semangat kebangsaan yang merangkumi semua, selepas
tanah airnya sendiri yang ia lihat dengan kepala matanya sendiri telah
mengalami beberapa perubahan situasi semasa setelah zaman penjajah hingga ke zaman
pasca-kemerdekaan. Demikian ada satu ungkapan orang-orang dahulu, “pemimpin
bersilih ganti; datang dan pergi; yang tertinggal hanyalah jasa; yang dikenang
jualah budi baiknya.” Dan adakah kerana saya menulis ini untuk menyatakan saya akan
mengikut jejak-jejak mereka untuk terlibat dengan politik seperti mereka? Saya
tidak pasti. Yang pastinya saya tidak akan sia-siakan dunia idealisme
saya.